Pelakon, penyanyi dan pelawak terkenal, Isma Aliff, dilaporkan meninggal dunia pada jam 8 pagi tadi di kediamannya di Ampang.

Isma Aliff Meninggal Dunia di Kediamannya di Ampang

Perkara itu disahkan oleh adiknya, Shamsidar Ismail, yang memaklumkan bahawa Allahyarham mengalami masalah kesihatan sejak kira-kira seminggu lalu. Menurutnya, keadaan kesihatan Isma semakin merosot dalam tempoh tersebut, termasuk mengalami kesukaran bercakap akibat sakit tekak, selain lebih banyak berehat dan terlantar di rumah.

Shamsidar berkata, jenazah Allahyarham kini berada di rumah keluarga di Kampung Melayu Ampang dan pihak keluarga masih menunggu makluman lanjut berhubung urusan mandi jenazah serta lokasi pengebumian. Beliau turut memaklumkan bahawa sebarang urusan lanjut akan dimaklumkan kemudian selepas mendapat pengesahan pihak berkaitan.

Mengikut laporan Kosmo, Allahyarham pernah mengalami serangan angin ahmar pada Disember 2023, yang mengakibatkan kelumpuhan di bahagian kiri tubuh, dan sejak itu menjalani rawatan serta pemantauan kesihatan.

Allahyarham memulakan kerjaya dalam industri hiburan pada tahun 1986 menerusi program televisyen terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Sepanjang penglibatannya dalam bidang lakonan, Isma dikenali menerusi filem-filem seperti Marah Marah Sayang dan Mawar Merah, selain membintangi beberapa filem lain termasuk Sayang Ibu, Jaket Biru, Kembar Siam dan Romeo. Beliau juga terlibat sebagai pengisi suara latar bagi karya Budak Lapok Osman serta sering muncul dalam pelbagai drama televisyen.

Selain lakonan, Allahyarham turut aktif dalam bidang muzik dan menghasilkan empat album studio, iaitu Eksyen Saja, Dengar Tau, Kembara Duka dan Macam-Macam Ada. Dalam bidang komedi pula, penampilan terakhir beliau di kaca televisyen adalah menerusi program realiti Maharaja Lawak Mega 2013, bergandingan bersama kumpulan Osama, yang turut dianggotai Allahyarham Mr. Os.

Kredit: Kosmo!

 

 

[fbcomments]