Usaha Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam meningkatkan tahap literasi kewangan rakyat Malaysia terus diperkasakan menerusi aktiviti turun padang kempen Simpan Baik-Baik, yang berlangsung sepanjang September hingga Disember 2025 dengan tumpuan khusus kepada golongan muda, terutamanya pelajar universiti.

Kempen ini bertujuan untuk menekankan kepentingan merancang kewangan dan menyimpan sejak usia muda.

PLKSBB KWSP Tarik Minat Ribuan Pelajar UiTM Pulau Pinang

Hasil kolaborasi KWSP dan UiTM Pulau Pinang telah berlangsungnya Program Literasi Kewangan Simpan Baik-Baik (PLKSBB) bermula 4 hingga 6 November 2025 bertempat di Perpustakaan Tun Abdul Razak 2.

Objektif program ini adalah untuk mempromosikan amalan menabung dari usia muda serta memberi pendedahan lebih mendalam mengenai inisiatif dan kelebihan menabung di KWSP untuk golongan belia.

Sepanjang tiga hari ini, aktiviti menarik disusun bagi memastikan mesej pengurusan kewangan disampaikan secara santai, mudah difahami dan lebih penting lagi menarik minat pelajar seperti booth permainan interaktif berkaitan pengurusan kewangan;- sebagai galakan, pelajar boleh memenangi hadiah-hadiah eksklusif dari KWSP.

Program ini turut dimeriahkan dengan persembahan serta sesi bersama selebriti popular Alif Satar & The Locos, demonstrasi jahitan sulam dan bengkel teh matcha bersama pempengaruh BenangbyNini dan Irdina Hani, serta persembahan penutup oleh Kucaimars dan Emeer Bakri.

Turut diselitkan juga beberapa sesi bual santai di antara Pegawai Relationship & Advisory (RA) KWSP dan pelajar-pelajar yang mana sesi ini memberi fokus kepada ilmu asas memulakan simpanan di KWSP dan manfaat yang akan diperoleh apabila mula menyimpan di usia muda.

Secara keseluruhan, pendekatan kempen Simpan Baik-Baik yang menggabungkan penglibatan selebriti, pempengaruh dan aktiviti interaktif terbukti berkesan dalam menyampaikan mesej kewangan secara santai, mudah difahami dan dekat dengan golongan muda.

Penganjuran program ini bukan sahaja menceriakan suasana kampus, malah berjaya meningkatkan kesedaran kewangan di kalangan pelajar, dengan penegasan jelas bahawa amalan menyimpan dan merancang masa depan perlu bermula sekarang, sekali gus mencerminkan komitmen KWSP untuk meneruskan inisiatif ini di masa hadapan demi menanam kesedaran tentang celik kewangan kepada generasi muda.

[fbcomments]