Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Sajat didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam atas tuduhan berpakaian seperti wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Perkara ini telah disahkan sendiri oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) .
Menurut Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata usahawan berusia 36 tahun itu dituduh atas kesalahan mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah. Selanjutnya, pihak mahkamah akan membicarakan semula kes pada 23 Febuari hadapan.
Tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan penjawat awam kumpulan A.
Pemilik nama Muhammad Sajjad Kamaruzzaman itu didakwa kerana berpakaian menyerupai perempuan sedangkan dirinya berjantina lelaki dan telah mencemarkan nama baik Islam.
Perbuatan tersebut dilakukan sewaktu majlis bacaan Yasin dan solat hajat pada 23 Februari 2018 di premis kecantikannya yang terletak di Shah Alam.
Namun pada 6 Januari lalu, tular dalam laman sosial video yang dibuat secara ‘live’ menunjukkan Muhammad Sajjad sedang menangis dalam keadaan bergari. Beberapa hari kemudian, Muhammad Sajjad tampil di Instagram dan menjelaskan dirinya diperlakukan tidak perikemanusiaan.
Dia mendakwa telah mengalami kecederaan dan bengkak di badan ketika bergelut. Muhammad Sajjad juga mendedahkan bahawa dia telah membuat pembedahan menukar jantina dalam paparan yang sama.