Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatatkan satu lagi sejarah dengan menjadi pasukan pertama memenangi Piala FA tiga kali berturut-turut selepas mengalahkan Selangor FC (SFC) dengan keputusan 6-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam tadi.
JDT Belasah Selangor FC 6-1
Kemenangan ini juga menjadikan JDT sebagai pasukan pertama yang berjaya menjaringkan enam gol dalam perlawanan akhir Piala FA sejak pertandingan itu diperkenalkan pada tahun 1990.
Dengan kejuaraan ini, JDT kini mengumpul empat gelaran Piala FA, hanya satu gelaran di belakang SFC dan Kedah Darul Aman FC yang masing-masing memenangi lima kejuaraan.
Perlawanan akhir menyaksikan JDT tampil dengan gaya permainan menyerang sejak dari awal, dengan asakan bertali arus yang mencetuskan beberapa insiden fizikal di antara pemain kedua-dua pasukan.
Terdapat juga beberapa pertengkaran kecil yang berlaku sepanjang babak pertama. JDT membuka tirai jaringan melalui sepakan percuma Juan Muniz pada minit ke-26, diikuti gol kedua oleh Arif Aiman Hanapi pada minit ke-41, memberikan mereka kelebihan 2-0 sebelum memasuki bilik persalinan.
Pada babak kedua, SFC berusaha untuk merapatkan jurang dengan jaringan Alvin Fortes pada minit ke-58, tetapi kebangkitan mereka dipatahkan apabila Bergson da Silva menambah gol ketiga JDT hanya tiga minit selepas itu.
Juan Muniz sekali lagi mencatat nama di papan skor dengan gol keempat pada minit ke-67, sebelum Heberty Fernandes menyumbang gol kelima pada minit ke-75.
Muniz melengkapkan hatriknya dengan satu lagi sepakan percuma pada minit ke-90, memastikan malam penuh kegemilangan buat JDT.
Kredit: Buletin TV3