Usahawan dan pempengaruh, Ridzuan Ridzokumura, meluahkan rasa terkilan apabila tidak sempat memenuhi permintaan terakhir isterinya, Akiko Okumura, sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada hari Jumaat.

Ridzuan Ridzokumura Kesal Tidak Dapat Tunaikan Permintaan Terakhir Isteri

Menurut Ridzuan atau nama sebenarnya Abd Ridzuan Abdul Mutalib, 50, isterinya sempat mengajaknya ke pasar raya untuk membeli keperluan dapur sebagai persediaan menyambut bulan Ramadan. Namun, hajat tersebut tidak kesampaian.

“Setiap kali tibanya Ramadan arwah pasti akan masak juadah untuk sahur dan berbuka puasa.

“Sebenarnya sebelum pemergiannya, dia ada ajak saya pergi beli barang dapur untuk dia masak sepanjang Ramadan ini. Tapi niatnya itu tidak kesampaian… Nantilah saya cerita dalam video live nanti,” ujarnya kepada media.

Ridzuan berkongsi perkara itu sejurus selepas majlis pengebumian isterinya yang berlangsung di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, Selangor, pada pagi Sabtu. Walaupun telah mengumumkan pemergian isterinya pada pagi Jumaat, Ridzuan tidak mendedahkan punca sebenar kematian Akiko.

Masih dalam keadaan berduka, beliau mengakui sukar untuk berbicara mengenai kehilangan insan tersayang dan meminta sedikit masa sebelum berkongsi kisah sebenar pemergian isterinya.

“Saya nak cakap banyak pun tak boleh sekarang, rasa sedih sangat sampai tak boleh nak bercakap.

“Sampai masa nanti saya akan cerita daripada awal hingga akhir apa yang berlaku. Beri saya masa dan ruang terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, jenazah Akiko telah selamat dikebumikan sekitar pukul 9 pagi Sabtu di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya. Majlis pengebumian dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga dan rakan terdekat yang memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarham.

Sebelum dikebumikan, solat jenazah telah dilaksanakan di Masjid Darul Ehsan SS15, Subang Jaya. Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan apabila anak tunggal Allahyarham, Sky Taizo, turut membantu dalam proses pengebumian ibunya.

Ridzuan juga dilihat meletakkan bunga ros merah di pusara sebagai tanda kasih dan penghormatan terakhir buat isteri tercinta.

Ridzuan dan Akiko, seorang wanita kelahiran Jepun, mendirikan rumah tangga pada Februari 2009. Hasil perkahwinan mereka, pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki, Sky Taizo Okumura, yang kini berusia 13 tahun.

Kredit: Mstar

[fbcomments]