Pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) semalam turun padang ke sebuah kediaman di Taman Puncak Bertam selepas menerima laporan mengenai bau masakan yang didakwa mengganggu penduduk sekitar.
Lawatan itu diketuai oleh Ahli Majlis MBMB DUN Kesidang, Clr. Juhari bin Ahmad Salleh, bagi menilai sendiri keadaan di lokasi dan mengenal pasti punca aduan yang diterima.
![]()
MBMB Siasat Aduan Bau Masakan Kuat di Taman Puncak Bertam
Hasil pemeriksaan mendapati aktiviti memasak di rumah berkenaan dipercayai dilakukan dalam jumlah yang besar. Pemilik rumah dinasihatkan supaya mengehadkan kuantiti masakan bagi mengelakkan gangguan bau kepada kawasan sekeliling.
Selain itu, penghuni dan individu yang terlibat dalam proses memasak turut diberi nasihat untuk mendapatkan suntikan typhoid sebagai langkah keselamatan dan kebersihan makanan.
![]()
Tindakan MBMB itu turut menjadi perbualan warga maya selepas beberapa tangkap layar lawatan berkenaan tular di media sosial. Ada yang terkejut dengan insiden tersebut, manakala sebahagian lain berpendapat kehadiran pihak berkuasa wajar dilakukan jika bau masakan terlalu kuat sehingga menimbulkan ketidakselesaan.
Beberapa netizen turut mendakwa pernah melalui kawasan itu dan menyatakan bahawa bau tempoyak dipercayai menjadi punca utama gangguan. Tidak kurang juga yang mengesyaki pemilik rumah mungkin menjalankan perniagaan makanan dari kediaman tersebut, menyebabkan aktiviti memasak dalam kuantiti besar menimbulkan masalah kepada jiran berhampiran.
![]()
Kredit: Facebook Melaka Hari Ini