KKM pada hari ini mengsahkan bahawa produk sos pasta berkrim carbonara cendawan jenama Prego ditarik balik dari pasaran akibat kerosakan kepada produk tersebut.
Menurut Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan, penarikan dibuat apabila terdapat tanda-tanda kerosakan seperti bau tidak menyenangkan, warna berubah, rupa berair dan lapisan cecair yang terpisah pada produk berkenaan.
Semalam, 22 Disember 2022, sos pasta yang telah diimport ke Singapura oleh Campbell Soup Asia Tenggara (cawangan Singapura) telah diarahkan untuk menarik balik jualan produk di neagra itu kerana kerosakan yang sama.
Hari ini, KKM turut menerima notifikasi dari syarikat Campbell Cheong Chan (M) Sdn. Bhd. yang mengesahkan produk tersebut turut dijual di Malaysia.
“Produk yang terlibat dalam penarikan balik adalah Prego Sos Pasta Berkrim Carbonara Cendawan(665gram) dengan nombor batch 2022081716 bertarikh luput 17 Ogos 2023 dan kod masa 22:18 hingga 23:20,” kata Dr Noor Hisham.
“Pihak syarikat telah mengenalpasti punca kerosakan tersebut disebabkan kesilapan semasa pemprosesan dan sedang dalam proses penarikan balik produk terlibat di pasaran secara sukerela.”
KKM juga menggesa penjual untuk menghentikan jualan produk tersebut secara serta-merta. Bagi pengguna yang telah membeli produk tersebut hendaklah tidak memakan produk berkenaan.
Bagi yang telah mengambilnya pula diminta untuk berjumpa dengan pegawai perubatan sekiranya mengalami masalah kesihatan seperti gejala keracunan makanan cirit-birit dan muntah-muntah.
KKM juga menyarankan orang ramai untuk mengamalkan prinsip Lihat, Hidu dan Rasa bagi mencegah kejadian keracunan makanan.
“Sebarang maklumat atau persoalan boleh dikemukakan kepada Pejabat Kesihatan Daeran yang terdekat, atau layari laman web http://moh.spab.gov.my/ atau laman Facebook rasmi bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di www.faceboook.com/bkkmhq“