Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia selepas dilaporkan rebah ketika menyertai kejohanan bola sepak bawah 12 tahun (B-12) di sebuah pusat sukan, kelmarin.

Pemain Bola Sepak Bawah 12 Tahun Rebah Ketika Sertai Kejohanan

Allahyarham Danish Hizqeel Mohd Hanif yang merupakan pemain Shining FC, dikatakan menyertai kelab berkenaan sejak berusia lapan tahun. Pemergiannya menerima penghormatan daripada pihak kelab yang menyifatkannya sebagai seorang pemain yang mempunyai semangat tinggi, rajin menjalani latihan, menghormati jurulatih serta sering menceriakan rakan sepasukan.

Menerusi hantaran di Facebook Shining FC, pihak kelab menyatakan kehilangan Danish Hizqeel memberi kesan besar kepada seluruh keluarga Shining Academy. Mereka turut mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala kesalahan Allahyarham, merahmati rohnya serta memberikan kekuatan dan ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan.

Dalam pada itu, Persatuan Bolasepak Johor Bahru (JBFA) turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian pemain muda tersebut yang disifatkan mempunyai potensi besar dalam bidang bola sepak. Kehilangan itu turut dirasai oleh komuniti bola sepak di Johor.

Unit Sukan, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor juga menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 2, Pasir Gudang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]