Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah van sekolah, dipercayai selepas tertinggal dalam kenderaan itu hampir lima jam tanpa pengawasan.
![]()
Lima Jam Terperangkap Dalam Van Sekolah, Kanak-Kanak 5 Tahun Disahkan Maut
Menurut maklumat awal, mangsa sepatutnya hadir ke sebuah tadika berhampiran dan telah menaiki van dari rumah pada awal pagi. Van berkenaan dilaporkan tiba di hadapan tadika sekitar jam 7.30 pagi. Namun, mangsa tidak diturunkan dan hanya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 12 tengah hari, masih berada di dalam kenderaan tersebut.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Bapa mangsa, Teo Jia, berkata dia dan isteri hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu apabila menerima panggilan telefon daripada pihak tadika kira-kira jam 1 tengah hari. Mereka diminta segera ke sebuah hospital swasta berhampiran rumah kerana anak mereka berada dalam keadaan kecemasan.
![]()
“Apabila sampai, anak saya sudah terbaring kaku. Doktor cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Yu Zie, yang merupakan satu-satunya anak kami,” katanya dengan nada sebak ketika ditemui media.
Apa yang lebih menyedihkan, menurutnya, anaknya ditemui tidak sedarkan diri di bahagian pintu van. Teo percaya Yu Zie mungkin telah sedar dan cuba membuka pintu untuk keluar, namun gagal menyelamatkan diri.
“Mungkin anak saya tertidur ketika dalam perjalanan dan pemandu tidak menyedari kehadirannya. Bila terjaga, dia mungkin cuba keluar… tetapi tak berjaya. Itu yang buat saya terkilan,” katanya lagi.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa terhadap kecuaian pemandu van yang didakwa tidak membuat semakan penuh sebelum menutup pintu dan beredar. Tambahnya, pihak tadika juga seharusnya lebih peka dengan menyemak kehadiran setiap pelajar, dan segera memaklumkan kepada ibu bapa sekiranya ada pelajar yang tidak hadir tanpa alasan.
![]()
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan memaklumkan bahawa seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun yang merupakan pemandu van sekolah tersebut telah ditahan di Taman Bukit Indah pada hari kejadian bagi membantu siasatan. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, manakala ujian saringan air kencing juga negatif dadah.
Suspek kini direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian dan kecuaian terhadap kanak-kanak di bawah jagaan.
Teo yang bekerja di Singapura berharap agar pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan sewajarnya agar tragedi sebegini tidak berulang kepada keluarga lain.
Kredit: Sinar Harian