Keluarga kepada Allahyarham Mohamad Fahmi Hafiz, 10, yang meninggal dunia akibat tercekik gula-gula ‘gummy’, menerima kejadian itu dengan reda dan tidak berhasrat untuk menyalahkan mana-mana pihak.

Kanak-Kanak Maut Tercekik Gula-Gula,  Bapa Reda & Tidak Salahkan Sesiapa

Bapanya, Mohammad Fakhruddin Mohamad Fikri, berkata walaupun pemergian anak sulungnya itu meninggalkan kesan mendalam, mereka sekeluarga menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi.

“Kami reda dengan apa yang berlaku. Ini semua sudah tertulis dalam takdir Allah. Kami juga tidak berniat untuk memanjangkan isu ini atau mengambil tindakan terhadap sesiapa.

“Namun, disebabkan kejadian berlaku di kawasan sekolah, kami perlu mengikut prosedur yang ditetapkan termasuk membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Permatang Binjai, Penaga, pada Jumaat.

Menurut Mohammad Fakhruddin, sebelum ini anaknya tidak pernah membeli atau memakan gula-gula kenyal seperti itu. Beliau percaya kejadian itu hanyalah asbab kepada pemergian anaknya yang sudah ditentukan oleh Tuhan.

“Saya tidak menyalahkan makanan tersebut kerana apa sahaja makanan boleh menyebabkan tercekik jika tidak berhati-hati. Mungkin anak saya tidak biasa dengan gula-gula itu atau hanya mengikut rakan-rakan membelinya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap kejadian tragis ini dapat menjadi peringatan kepada ibu bapa dan masyarakat supaya lebih berhati-hati terhadap pemakanan kanak-kanak, terutama makanan bertekstur kenyal yang berisiko menyebabkan tercekik.

Jenazah Allahyarham Mohamad Fahmi Hafiz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Permatang Binjai.

Terdahulu, insiden tersebut menjadi perhatian selepas mangsa dilaporkan dalam keadaan kritikal akibat tercekik gula-gula ‘gummy mata’ yang dibelinya di luar kawasan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Sungai Dua, Butterworth.

Pemergian Allahyarham turut mendapat perhatian ramai yang menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarganya.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]