Seorang kanak-kanak lelaki warga Russia berusia dua tahun meninggal dunia selepas disengat ubur-ubur ketika bercuti bersama ibu bapa di Langkawi pada Sabtu lalu.
Mangsa, Vladimir Lakubanets, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas menerima rawatan sejak 16 November.
![]()
Anak Lelaki Dua Tahun Warga Russia Meninggal Dunia Selepas Disengat Ubur-Ubur di Langkawi
Bapa mangsa, Nikita Lakubanets, 32, dari Khabarovsk, berkata insiden berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi di pantai berhampiran Dataran Pantai Chenang.
“Ketika anak kami mandi di pantai, dia menjerit dan menangis. Isteri saya segera memegangnya dan mendapati kedua-dua kaki anak kami disengat ubur-ubur besar. Saya turut terkena sengatan semasa membantu menanggalkan cengkaman ubur-ubur dari kaki anak saya,” katanya.
Nikita menambah, beliau memberikan bantuan pernafasan sebelum menghantar Vladimir ke klinik, dan keesokan harinya mangsa dirujuk ke HSB selepas keadaannya semakin kritikal. Doktor mengesahkan kematian Vladimir akibat keracunan sengatan ubur-ubur.
![]()
Pasangan itu menyatakan kesedihan mereka dengan kehilangan anak tunggal mereka namun reda dengan ketentuan. Nikita berharap pihak berwajib meletakkan papan amaran tentang ubur-ubur untuk mengelakkan kejadian serupa berlaku kepada pengunjung lain.
Isterinya, Olga, berkata Vladimir sangat teruja untuk bercuti di Langkawi sejak tiba pada Jumaat lalu. Pasangan itu merancang membawa pulang abu mayat Vladimir pada 26 November, iaitu tarikh asal mereka dijadualkan pulang ke Rusia.
Kredit: Kosmo!