Seorang usahawan rokok elektronik atau Vape yang pernah ditahan sebelum ini kerana disyaki ada kaitan dengan sindiket perjudian atas talian dan Macau Scam mendakwa telah diugut oleh pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai ganti untuk dilepaskan dari siasatan kes berkenaan.
Beg tangan mengandungi wang RM1.7 juta dirampas
Menurut laporan chinapress.com.my pegawai SPRM itu tiba di rumah mangsa berusia 32 tahun pada jam 7 pagi, 2 Oktober lalu bagi menyiasat kesnya yang melibatkan Alvin Goh dan Addy Kanna.
Pegawai tersebut telah menggeledah rumahnya dan merampas dua buah beg tangan jenama LV mengandungi wang tunai berjumlah RM1.7 juta.

Tambah ahli perniagaan ini lagi, semasa dia dibawa ke ibu pejabat SPRM untuk disoal siasat, pegawai SPRM tersebut telah mengugutnya dengan mengatakan jika dia enggan mengaku terlibat dengan kes berkenaan, mereka akan turut menahan ibunya untuk membantu siasatan.
Minta RM20 juta, 3 buah kenderaan dan saham syarikat
Pada keesokkan hari selepas ditahan itu, seorang kontraktor dan juga merupakan kawan kepada pegawai kanan SPRM berpangkat Datuk telah mengugutnya supaya memindah milik tiga buah kenderaan, memberikan RM20 juta wang tunai dan menyerahkan saham syarikat, jika tidak dia akan berdepan dengan siasatan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).
Selepas diugut oleh kontraktor berkenaan, seorang pegawai SPRM (dikenali sebagai Pegawai N) muncul memberitahu bahawa kontraktor itu mempunyai hubungan baik dengan pegawai kanan SPRM tersebut dan memberitahu, jika mahu kes itu diselesaikan dengan lancar, usahawan tersebut perlu patuh dengan syarat-syarat yang diberikan oleh kontraktor itu.
Pindah milik kereta Hammer H2 & Harley Davison
Menurut usahawan itu, oleh kerana merasa takut dia akhirnya bersetuju untuk memindah milik sebuah kereta mewah jenis Hammer H2 dan sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Harley Davison kepada ‘datuk’ berkenaan.

Usahawan itu dilaporkan telah dibebaskan dengan ikat jamin pada 6 Oktober lalu, dan memperolehi kembali wang tunai RM90,000 serta barangan kemas milik ibunya.
Usahawan itu kemudian, telah pergi ke Gudang SPRM di Jalan Conchrane, Cheras seperti yang telah dijanjikan dan menurunkan tandatangan dalam sebuah dokumen untuk memindah milik dua kenderaan diperhatikan oleh kontraktor tersebut.

Minta bayaran RM300,000
Tidak lama kemudian katanya, dia berjumpa dengan “Pegawai N” mengatakan mahu memulangkan barangan yang dirampas lebih awal. Ketika dia dan “Pegawai N” pergi ke bank untuk menghitung wang tunai terbabit, mereka mendapati jumlah wang tunai yang dipulangkan tidak sepadan dengan borang rampasan SPRM.
Pada 3 Disember lalu, usahawan itu bertemu lagi dengan “pegawai N” dan seorang lagi pegawai SPRM “dengan pangkal nama H” dan diminta untuk membayar RM300,000 bagi mendapatkan semula kenderaan yang dirampas.