fbpx

Bintang bola sepak dari negara Portugal, Cristiano Ronaldo kecewa pulang dengan tangan kosong apabila pasukan negaranya tumpas di tangan Morocco dalam pusingan suku akhir Piala Dunia FIFA 2022 semalam. Cristiano terus meninggalkan padang setelah wisel penamat dibunyikan dengan tangisan. 

Pada usia 37 tahun, Piala Dunia Qatar 2022 merupakan kempen piala dunia yang kelima baginya dan berkemungkinan kempennya yang terakhir. Bekas pemain Manchester United itu tidak dapat menahan kekecewaannya dan terus meninggalkan padang tanpa berjabat tangan dengan rakan sepasukan mahupun pasukan lawan. 

Pemenang anugerah Ballon D’Or sebanyak lima kali itu bukan sahaja terkenal dengan kehandalannya dalam menggelecek bola, tetapi turut dikenali dengan sifatnya yang emosional. Beliau telah banyak kali menimbulkan drama dengan pengurus pasukan kelabnya sebelum ini sehingga akhirnya membuat keputusan meninggalkan kelab tersebut. Setelah dibangkukan dalam pusingan 16 terakhir dan separuh pertama perlawanan semalam, Ronaldo kelihatan tidak berpuas hati semasa di bangku pemain simpanan. 

Morocco pula telah mencipta sejarah apabila menjadi pasukan dari benua Afrika yang mara ke peringkat separuh akhir Piala Dunia menerusi jaringan daripada En-Nesyri pada minit ke-42. Pasukan Singa Atlas itu akan bertembung dengan Perancis untuk perlawanan separuh akhir pada 15 Disember nanti.

[fbcomments]