Satu insiden menyayat hati melibatkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental yang dipukul di pasar tani Terengganu pada Jumaat lalu telah menarik perhatian netizen di Malaysia.
Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, yang menjadi mangsa kekerasan beberapa individu, kini menerima sokongan yang luar biasa selepas sebuah syarikat pengendali umrah, Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, menawarkan pakej umrah percuma kepada beliau dan keluarganya.
@andalusia_kuantan Alhamdulillah, Hasrat Tuan Haji Ibrahim untuk menaja Pakej Umrah Untuk Keluarga Puan Faridah Isteri kepada En Mohd Nor Al Faizan( Mangsa) ini sudah disampaikan. #andalusiatravelandtours #andalusiakuantan #umrah2025 #elakkanscamumrahhaji #fyp @HjIbrahimAndalusia
Keluarga Mangsa Lelaki OKU Terima Tajaan Umrah Sebagai Sokongan Selepas Dianiaya di Pasar Tani Terengganu
Keluarga Ahmad Nor, yang terdiri daripada isterinya, Faridah Abdul Karim, 44, dan anak mereka, Ahmad Fakhrie, 19, diberikan peluang untuk menunaikan umrah, sekali gus memberikan harapan baru kepada mereka selepas trauma yang dialami.
Pakej itu diberikan dengan penuh rasa simpati oleh Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin, yang menyampaikan berita tersebut kepada Faridah melalui panggilan video.
Dalam video tersebut, Ibrahim menyampaikan doa agar perjalanan mereka ke Tanah Suci dapat membawa ketenangan kepada hati yang terluka.
“Semoga di sana (Makkah dan Madinah) terubat hati,” ujar Ibrahim, memberikan sedikit sinar harapan kepada keluarga itu.
Faridah, yang terharu dengan berita gembira itu, menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak yang membantu mereka.
“Alhamdulillah, ya Allah. Terima kasih, semoga Allah membalas jasa baik tuan,” ucapnya.
Sebagai tanda sokongan lanjut, wakil dari Andalusia Kuantan, Syahirah, bersama Pegawai Agama Ustaz Luqman, turut mengunjungi rumah keluarga Ahmad Nor untuk menyampaikan bantuan dan kelengkapan bagi perjalanan umrah mereka.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan doa untuk keluarga ini dan berharap perjalanan mereka ke Tanah Suci berjalan lancar. Ramai yang turut tersentuh dengan kata-kata Ahmad Nor Al Faizan semasa insiden itu, “Tak apa Allah ada,” yang menggambarkan ketabahan beliau dalam menghadapi segala dugaan.
Sehingga kini, pihak berkuasa telah menahan enam individu berhubung insiden tersebut, dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Kredit: TikTok andalusia_kuantan