fbpx

Kemalangan yang membabitkan penyerang pasukan Johor Darul Takzim (JDT) Syafiq Ahmad yang berusia 25 tahun itu sehingga menyebabkan anaknya yang baru berusia 22 hari, ibu mertua dan juga pembantu rumahnya warganegara Indonesia meninggal dunia benar-benar mengejutkan.

Difahamkan kenderaan jenis MPV Toyota Vellfire yang dipandunya itu telah mengalami kemalangan di Kilometer 163.6 berhampiran Plaza Tol Jawi apabila dikatakan terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan.

Terlelap sebelum terbabas

Walau bagaimanapun, menurut laporan daripada Berita Harian, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, berkata pemain pasukan JDT itu berkemungkinan dipercayai tertidur hingga menyebabkan kenderaan yang dipandunya itu hilang kawalan.

Gagal mengawal kenderaan menyebabkan pemandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelah kanan sebelum terbalik dan terseret berdasarkan kesan calar di jalan.

Kejadian menyebabkan tiga penumpang iaitu bayi lelaki, ibu mentua dan pembantu rumah warga Indonesia maut di lokasi akibat kecederaan parah.

Patah tulang rusuk, pendarahan perut & otak, patah tulang peha

Dalam pada itu, Chong Chern turut berkata, isteri kepada Muhammad Syafiq patah tulang rusuk, pendarahan dalam perut, otak serta patah tulang paha kiri.

Manakala anak sulung mereka pula dipercayai mengalami pendarahan dalam otak yang mana kedua-dua ibu dan anak itu kini mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Namun Muhammad Syafiq pula hanya mengalami kecederaan ringan.

Satu liang lahat

Walau bagaimanapun, kini jenazah ibu mertua Syafiq, Zainab Wahab yang berusia 45 tahun dan anak lelakinya berusia 22 hari itu telah selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Murai, Padang Pusing, Pendang.

Manakala, jenazah pembantu rumahnya pula sudah dituntut Pegawai dari Konsulat Indonesia Cawangan Pulau Pinang.

[fbcomments]