Polis berjaya menemui kepala model dan selebriti media sosial Hong Kong, Abby Choi Tin-Fung, 28 tahun dua hari selepas menjumpai sebahagian anggota badannya di sebuah rumah di Kampung Lung Mei, di daerah Tai Po.
Menurut laporan Berita Harian, pakar forensik menemui kepala mangsa dalam salah satu periuk sup di rumah berkenaan. Bekas suami mangsa bersama abang dan ibu bapanya, sudah ditahan berkaitan pembunuhan itu.
Kepala mangsa ditemui dalam keadaan rambut sudah tidak melekat pada tengkorak kerana telah dimasak malah seseorang dipercayai cuba memukul kepala mangsa.
Periuk sup itu juga dilaporkan mempunyai daging cincang bersama lobak merah dan lobak hijau di dalamnya.
Selain itu, polis turut menemui tulang rusuk di dalam salah satu periuk berkenaan kerana dipercayai dalam cubaan untuk menghancurkannya.
Perlu Pengesahan DNA
Bagaimanapun, pihak polis akan melakukan ujian DNA bagi mengesahkan kepala dan tulang tersebut milik model berkenaan.
Dalam pada itu, polis kini sedang giat mencari lengan dan anggota badan mangsa dilaporkan masih hilang.
Motif Pembunuhan
Motif pembunuhan dikatakan pertikaian kewangan membabitkan jumlah yang besar antara mangsa dan keluarga bekas suami.
“Seseorang tidak berpuas hati dengan cara mangsa mengendalikan asetnya, yang menjadi motif untuk membunuh,” kata Polihs Hong Kong.
Terdahulu, mayat Abby, 28 ditemui dalam keadaan mengerikan iaitu tanpa kepala di sebuah rumah dipercayai tempat mangsa mati dibunuh selepas dilaporkan hilang pada Rabu lalu.
Ketika serbuan, polis turut menemui gergaji elektrik dan penggiling daging yang telah digunakan dipercayai untuk mengisar mayat mangsa sebagai cara menghapuskan bukti.
Sumber: Berita Harian