Hasrat Euodia untuk meneruskan legasi mendiang ibunya dengan bergelar doktor mendapat sokongan penuh Kerajaan Sarawak apabila kos pendidikannya akan ditanggung sehingga beliau berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan.
Euodia merupakan anak kepada mendiang Jururawat Terlatih, SN Debra Moset, yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram.
![]()
Euodia Nekad Jadi Doktor, Kerajaan Sarawak Tanggung Kos Pendidikan Hingga Tamat Pengajian
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan pendidikan itu bukan sahaja diberikan kepada Euodia, malah turut melibatkan anak-anak mangsa lain yang terkorban dalam tragedi berkenaan.
Menurutnya, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memastikan kebajikan serta masa depan pendidikan anak-anak mangsa terus terbela selepas kehilangan insan tersayang.
“Bagi anaknya, Euodia, kerajaan Sarawak akan menanggung kos pendidikannya sehingga beliau menjadi doktor. Begitu juga dengan anak-anak mangsa yang lain,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Utara Sarawak di Stadium Miri.
![]()
Abang Johari berkata, kehilangan ibu atau bapa akibat tragedi itu tidak mungkin dapat digantikan dengan wang ringgit, namun kerajaan negeri akan terus memberikan perhatian terhadap kebajikan keluarga yang terjejas.
Dalam pada itu, beliau berkata tragedi berkenaan turut mendorong kerajaan Sarawak untuk memperkukuh usaha mencari kaedah alternatif dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan luar bandar, khususnya di pedalaman.
Katanya, pengalaman tersebut memberi semangat kepada beliau untuk mencari pendekatan baharu bagi memastikan rakyat di kawasan terbabit terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Sementara itu, Euodia sebelum ini menerusi hantaran di media sosial menyatakan tekad untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga dapat menggunakan gelaran ‘Dr Euodia’ sebagai tanda meneruskan legasi dan pengorbanan mendiang ibunya.
![]()
Minatnya terhadap aliran sains di sekolah juga dikatakan lahir daripada dorongan mendiang Debra yang sentiasa menyokong hasratnya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang berkenaan.
Dengan jaminan pembiayaan daripada kerajaan negeri, Euodia kini mendapat sokongan untuk mengejar impian tersebut, manakala anak-anak mangsa lain turut akan menerima bantuan pendidikan bagi membantu mereka meneruskan perjalanan hidup dan pelajaran masing-masing.
Kredit: Facebook TVS Entertainment