Dua wanita ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia selepas disyaki terkena renjatan elektrik di sebuah kolam ternakan ikan di Pantai Air Tawar, Besut, pada Ahad.
![]()
Dua Wanita Maut Disyaki Terkena Renjatan Elektrik Di Kolam Ternakan Ikan
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.40 tengah hari, membabitkan pemilik kolam, Wan Adilah Wan Awang, 49, dan pelajar praktikal, Rubayyi Razak, 27. Kedua-dua mangsa ditemukan di kawasan kolam berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.
Mayat mereka kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat, manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut hadir bagi membantu pemeriksaan berkaitan punca kejadian.
![]()
Kejadian itu turut mengejutkan kakak Wan Adilah, Wan Affida Malina Wan Awang, 51, yang bergegas ke kolam berkenaan selepas menerima berita adiknya tidak sedarkan diri. Menurutnya, pada awalnya dia menyangka hanya Wan Adilah yang terbaring di tepi kolam, sebelum mendapati terdapat seorang lagi mangsa iaitu Rubayyi yang sedang menjalani latihan industri di situ.
Wan Affida yang berada kira-kira 20 meter dari lokasi tidak berani menghampiri kedua-duanya kerana bimbang masih terdapat arus elektrik, selepas dimaklumkan seorang kenalan keluarga mengenai kejadian itu pada jam 1.07 tengah hari. Wan Adilah, anak ketiga daripada tujuh beradik dan masih bujang, telah menguruskan kolam ternakan ikan tersebut sejak 2019.
Menurut kakaknya, dua anaknya, Muhammad Nizar Hakim Miliki, 22, dan Nor Aiesyah Miliki, 25, juga sering membantu Wan Adilah ketika mereka mempunyai cuti pengajian atau pekerjaan. Allahyarhamah disifatkan sebagai seorang yang ceria, peramah tetapi tegas dalam membuat keputusan, selain mampu menguruskan kolam berkenaan sendiri.
![]()
Dia juga aktif dalam persatuan dan kelab belia sejak usia muda serta pernah memegang beberapa jawatan penting dalam organisasi. Wan Affida berkata kali terakhir dia bertemu adiknya adalah pada minggu lalu, manakala Wan Adilah sering berkongsi berita atau perkara berkaitan kolam dengan anaknya, Hakim, yang kerap berulang-alik menemuinya dan memanggilnya “Mak Teh”.
Jenazah Wan Adilah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dengir.
Kredit: Harian Metro