Sejak 1 April yang lalu, moratorium pembayaran telah sedikit sebanyak membantu rakyat dan perniagaan ekoran hampir semua sektor ekonomi terhenti sewaktu memerangi wabak Covid-19.
Hal ini telah membuatkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar kepada golongan yang lebih memerlukan. Perkara ini disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyddin Yassin dalam satu sidang media sebentar tadi.
Individu kehilangan pekerjaan
Individu yang hilang pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum dapat pekerjaan baru. Golongan ini akan menikmati lanjutan bersasar selama tiga bulan.
Walau bagaimanapun, selepas 3 bulan tempoh masih boleh dilanjutkan oleh pihak bank bergantung pada situasi individu tersebut.
Individu yang gaji terjejas akibat Covid-19
Individu yang masih bekerja tetapi gajinya terjejas atau berkurangan akibat daripada kesan Covid-19. Golongan ini akan diberikan bayaran ansuran yang berkurangan selaras dengan kadar pengurangan gaji bergantung pada jenis pinjaman.
Contohnya jika pinjaman peribadi atau perumahan, bayaran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan kadar pengurangan gaji. bantuan ini adalah untuk tempoh 6 bulan.
Walau bagaimanapun, lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada gaji semasa individu tersebut.
Peminjam yang layak boleh hubungi bank masing-masing dan membuat permohonan bermula 7 Ogos 2020.