Seorang wanita hamil bersama bayi dalam kandungannya berusia 35 minggu maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Melayu, Kluang, pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian tragis itu, kenderaan yang dipandu mangsa terbabas sebelum merempuh pagar sebuah rumah di tepi jalan.
Kereta Terbabas Langgar Tembok Rumah, Wanita Hamil & Bayi Dalam Kandungan Maut Kemalangan
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, memaklumkan bahawa mangsa, Siti Aisyah Harun, 32, sedang dalam perjalanan dari Kampung Melayu menuju ke bandar Kluang bersama seorang penumpang ketika insiden berlaku.
“Siasatan awal mendapati kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok pagar rumah. Mangsa serta penumpangnya segera dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Menurutnya, keadaan bertambah pilu apabila pasukan perubatan terpaksa melakukan pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan mangsa kerana bayi tersebut didapati telah meninggal dunia akibat insiden itu.
Mangsa yang mengalami kecederaan dalaman serius di bahagian perut dan dada menerima rawatan rapi, namun dilaporkan meninggal dunia keesokan harinya sekitar jam 1.59 tengah hari akibat pendarahan dalaman serta kecederaan pada pankreas dan hati.
Sementara itu, penumpang yang turut berada dalam kenderaan tersebut hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian lengan kiri dan dahi sebelum menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Kredit: Harian Metro