Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kes yang disahkan dijangkiti novel koronavirus dikesan di Malaysia, menjadikannya kes yang keempat.
Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan kes terbaharu ini melibatkan seorang lelaki berumur 40 tahun yang berasal dari Wuhan, China.
Bagaimanapun, katanya kes tersebut dikatakan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tiga kes positif seperti yang telah dilaporkan pada Sabtu.
“Individu tersebut tiba di Johor Bahru pada 22 Januari 2020 dengan menaiki bas dari Singapura.
Kes datang bersama sekumpulan pelancong warga China seramai 17 orang kesemuanya yang turut terdiri daripada isteri dan seorang anaknya
Kes mula mengalami gejala demam pada 23 Januari 2020 dan keesokan harinya beliau telah pergi mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta berhampiran.”
Tambah beliau lagi, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah bertindak segera dengan mengesan kesemua 17 kontak daripada kumpulan pelancongan yang sama yang disertai oleh kes dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka.
Hasil saringan mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan. Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak tersebut untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV di MKAK Sungai Buloh.
Kesemua kontak tersebut seterusnya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan di tempat yang disediakan sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka.