Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun tampil mendedahkan keadaan kesihatan mental abangnya yang kini ditahan polis susulan insiden tragis di Kampung Baru Bakai, Kuala Ketil, Kedah.

Menurutnya, abangnya dipercayai mengalami gangguan mental sejak berusia 18 tahun dan sering berhalusinasi, namun sebelum ini tidak pernah mengganggu atau mencederakan sesiapa.

Adik Dakwa Suspek Alami Gangguan Mental Sejak Setahun Lalu, Sering Berhalusinasi

Remaja berkenaan merupakan adik kepada suspek lelaki yang disyaki menikam nenek mereka berusia 65 tahun hingga meninggal dunia, manakala moyang berusia 80 tahun cedera parah selepas mengalami kecederaan di bahagian leher dalam kejadian yang berlaku pada Selasa lalu. Kejadian itu dilaporkan berlaku di rumah nenek mereka, ketika hanya beberapa ahli keluarga berada di kediaman berkenaan.

Menurut adik suspek, abangnya sering bercakap seorang diri dan berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil, namun tidak pernah menunjukkan tingkah laku agresif sebelum ini. Malah, selepas kejadian berlaku, suspek sendiri meminta ahli keluarga membuat laporan polis dan memaklumkan supaya mereka datang melihat keadaan nenek mereka.

“Abang sendiri yang suruh buat laporan polis dan minta datang tengok tok, sama ada pengsan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian berlaku, hanya nenek, moyang serta ibu saudara mereka yang berusia 28 tahun berada di rumah bersama suspek. Bapa saudara yang tinggal di rumah tersebut dilaporkan tidak berada di rumah ketika itu. Remaja tersebut hanya mengetahui tentang kejadian menyayat hati itu selepas menerima panggilan daripada ibu saudaranya sekitar jam 6.44 petang.

“Saya terkejut bila dimaklumkan perkara itu berlaku. Waktu kejadian, saya sedang menemani emak pulang ke Penaga, Pulau Pinang kerana kami tinggal di sana,” ujarnya.

Tambahnya, dia dan abangnya sering bermalam di rumah nenek mereka sebelum ini, namun abangnya sudah lama tidak pulang ke kampung. Keadaan berubah apabila suspek secara tiba-tiba mendesak supaya ibu mereka dibawa pulang ke rumah nenek tersebut.

“Abang ajak mak balik walaupun mak kata tak ada duit. Dia tetap berkeras dan kata kami ada duit. Dia juga pesan kalau mak tak balik, mak akan menyesal,” katanya.

Menurutnya lagi, ibunya akhirnya membawa suspek pulang ke kampung, namun remaja itu tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku kerana mengikut ibunya pulang ke Pulau Pinang atas faktor keselamatan. Suspek juga tidak bekerja kerana masalah kesihatan mental yang dihadapinya.

“Abang anak sulung, saya anak kedua dan kami adik-beradik bongsu. Kami memang tak sangka perkara ini akan berlaku,” katanya dengan nada sebak.

Beliau turut memaklumkan bahawa selepas kejadian, suspek ada menyatakan nenek mereka tidak sedarkan diri sebelum meminta ahli keluarga segera membuat laporan polis.

Kredit: Harian Metro

 

 

[fbcomments]