Seorang anggota polis berpangkat Koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dihadapkan ke mahkamah atas tiga pertuduhan berasingan melibatkan dua kejadian samun di kedai runcit serta satu kes memiliki dadah.
![]()
Polis Kota Bharu Dituduh Samun Pekerja Kedai, Miliki Dadah Ketika Ditahan
Tertuduh, Mohd Irfan Azieyadi Abdul Aziz, 44, yang bertugas di unit Kereta Peronda, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Selasa.
Bagi dua pertuduhan samun, Mohd Irfan didakwa merampas wang tunai RM400 daripada seorang pekerja kedai runcit warga Pakistan, Sabz Ali Asef Khan, dalam insiden di Kampung Beris Jambu, Pengkalan Chepa pada 8 November lalu kira-kira jam 6.20 petang. Dua hari kemudian, pada 10 November sekitar jam 4.40 petang, dia dituduh melakukan perbuatan sama terhadap seorang lagi pembantu kedai, Amjad Ali Khan, di Kampung Chempaka.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
![]()
Dalam prosiding sama, peguam bela Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri memohon jaminan dengan alasan isteri tertuduh sedang menjalani rawatan akibat kanser ovari tahap tiga di samping komplikasi diabetes dan asma. Mahkamah turut dimaklumkan bahawa Mohd Irfan sendiri mengalami masalah darah tinggi dan memerlukan rawatan berkala.
Namun, permohonan itu dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli kerana alasan kesihatan yang dikemukakan tidak disertakan dokumen sokongan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM18,000 dengan dua penjamin, serta menetapkan beberapa syarat tambahan termasuk melapor diri setiap dua bulan di balai polis berhampiran, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi atau mangsa sehingga kes selesai.
![]()
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Mohd Irfan turut didakwa secara berasingan kerana memiliki dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Bharu pada jam 3 pagi, 19 November.
Untuk pertuduhan tersebut, tertuduh mengaku tidak bersalah dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000, serta pengawasan mandatori dua hingga tiga tahun jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan berkaitan dadah itu, mahkamah membenarkan jaminan tambahan sebanyak RM4,000.
Kredit: Sinar Harian