Artis baharu yang sedang berganjak naik dalam dunia nyanyian tempatan, Ika Mustafa kini dikuarantin di Hospital Sungai Buloh selepas disyaki mempunyai simptom wabak coronavirus (2019-nCoV).
Mula dikenali selepas single Damaikanlah menjadi runut bunyi drama Setelah Ku Dimiliki, Ika, 22, memberitahu, dia tiba dari Haikou, China, atas urusan kerja.
“Dalam penerbangan, saya perhatikan ada penumpang warga emas berusia 60-an dipercayai rakyat China, batuk teruk dengan hingus meleleh. Dia menggunakan banyak tisu untuk mengesat hingus.
Setibanya di Haikou, individu terbabit diperiksa dan dia dikatakan datang dari Wuhan. Pada peringkat itu, saya tidaklah terfikir apa-apa, cuma bimbang tetap ada.”
Ika berkata, sebaik urusannya selesai di Haikou, dia mengambil penerbangan seterusnya untuk pulang dan tiba di Malaysia dalam keadaan sihat.
“Bagaimanapun, pagi semalam, saya hilang suara apabila bangun tidur. Tekak mula sakit, demam dan muntah-muntah.“
Pada mulanya, dia hanya ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan dikuarantin.