Meskipun program i-Sinar, iaitu pengeluaran caruman daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diperluaskan kepada lebih ramai ahli yang terjejas, namun masih banyak rungutan dan keluhan yang kedengaran.
Mana tidaknya, berikutan syarat yang dikenakan terlalu ketat, yang mana satu daripadanya apabila kemudahan itu hanya terpakai kepada mereka yang berhadapan dengan pengurangan pendapatan sebanyak 30 peratus dan ke atas.
Pakar ekonomi kata KWSP tak adil
Menurut Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak selaku Pakar Ekonomi, Datuk Shazali Abu Mansor yang dipetik dari Bernama, turut menyifatkan kadar minimum pengurangan gaji sebanyak 30 peratus itu tidak munasabah dan tidak adil.

KWSP tidak seharusnya meletakkan syarat peratusan yang terlampau ketat, sebaliknya memudahkan pengeluaran kepada pencarum yang terdesak dan memerlukan wang, untuk kelangsungan kehidupan.
Jika kurang gaji 30 peratus baru boleh keluar itu tidak adil, mereka yang bergaji kecil dan mengalami pengurangan gaji sebanyak 20 peratus, tidak layak untuk membuat pengeluaran, tetapi mereka yang bergaji besar dan dipotong gaji 30 peratus, pula layak.
Tidak munasabah cara ini, seharusnya kenalah permudahkan, mereka ini dah jatuh, jatuh lagi ditimpa tangga apabila tidak layak untuk mengeluarkan wang sendiri, kerajaan perlu fikirkan cara yang lebih baik.
Tak perlu letak, syarat berapa pemotongan gaji
Tambah beliau lagi, memandangkan syarat ketat itu bukan dicapai di Parlimen, maka KWSP tidak perlu meletakkan syarat yang berat, sebaliknya membenarkan sahaja pengeluaran kepada pencarum yang mengalami pengurangan gaji, tanpa mengira berapa pun pemotongan yang dihadapi.
Kalau seseorang itu ada wang dan tidak terjejas, mereka tidak pergi ke KWSP untuk meminta-minta hak mereka, tetapi kalau mereka pergi dan sanggup berbaris lama, itu bermakna mereka betul-betul terdesak dan memerlukan wang.

Benarkan sebagai modal berniaga
Shazali berkata kerajaan juga seharusnya membenarkan para pencarum mengeluarkan sejumlah wang bagi tujuan modal berniaga, untuk meneruskan kelangsungan kehidupan yang terjejas, dengan syarat mereka membayar semula pengeluaran yang dibuat.
Boleh tampil buat rayuan kepada KWSP
Menurut Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor pula berkata, bagi pencarum yang terkeluar daripada syarat namun benar-benar memerlukan pengeluaran tersebut, seharusnya membuat rayuan kepada KWSP.
Meskipun syarat itu adalah ketetapan KWSP, namun pekerja boleh ke KWSP dan membuat rayuan, saya berharap KWSP akan mempertimbangkan mereka yang benar-benar memerlukan.
Di bawah Akta Kerja 1955, sesuatu syarikat itu tidak boleh sewenang-wenangnya memotong gaji pokok pekerja dan sebarang pemotongan gaji perlu dimohon terlebih dahulu kepada Jabatan Tenaga Kerja.
