Seorang anggota polis ditahan selepas kenderaan peronda yang dipandunya terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Persiaran Wawasan, berhampiran kawasan Mini Putrajaya, Perlis, pada Isnin kira-kira jam 10.20 malam.
Kejadian melibatkan pikap polis yang sedang menjalankan rondaan sebelum bertembung dengan dua buah motosikal dari arah bertentangan di kawasan Gua Sami.
![]()
Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Pikap Polis, Anggota Terbabit Ditahan
Hasil siasatan awal yang dijalankan Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu pikap terbabit.
Susulan itu, anggota polis tersebut ditahan untuk membantu siasatan lanjut. Polis juga menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian supaya tampil memberikan maklumat bagi melengkapkan siasatan.
![]()
Keluarga mangsa, Muhammad Firdaus Aiman Zainon, 24, terkesan dengan pemergian tragik itu. Dalam kejadian sama, seorang lagi penunggang motosikal, Aliff Noorhakim Alijesree, 25, dilaporkan cedera parah. Nor Fariza Hazain, 39, ibu saudara mangsa, berkata arwah sempat membuat panggilan video kepadanya petang sebelum kemalangan untuk memberitahu bahawa rumah keluarga mereka di Kampung Titi Tok Bandar ditenggelami air akibat hujan lebat.
“Saya memang bercadang balik untuk angkat barang, tetapi kerana hujan lebat di Pulau Pinang, saya tangguh dahulu. Kemudian, saya mendapat panggilan daripada sepupu arwah bahawa Muhammad Firdaus terlibat dalam kemalangan. Saya amat terkejut apabila dimaklumkan bahawa dia telah meninggal dunia.
![]()
“Insya-ALLAH, saya akan ambil tindakan bagi menuntut keadilan. Dia cucu kesayangan yang baik, sentiasa mengambil berat terhadap datuk dan neneknya,” katanya.
Keluarga mangsa kini bersedia mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut keadilan dan memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.
Kredit: Sinar Harian