Seorang lelaki OKU mental berusia 47 tahun mengalami kecederaan ringan selepas dipukul oleh beberapa individu di sebuah pasar tani di Padang Astaka, Chukai, Terengganu.
Video di bawah:
https://x.com/update11111/status/1880235055710388647?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw
OKU Dipukul Selepas Terlanggar Gerai Di Pasar Tani Chukai
Kejadian berlaku apabila lelaki tersebut dipercayai hilang kawalan semasa menunggang motosikal dan terlanggar sebuah gerai di tapak pasar tani tersebut. Perlanggaran itu menyebabkan barang-barang jualan di gerai berkenaan jatuh dan rosak, mencetuskan kemarahan beberapa individu yang berada di lokasi.
Menurut laporan, tindakan agresif tersebut menyebabkan mangsa cedera ringan sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.
Susulan insiden tersebut, pihak polis sedang giat mengesan individu-individu yang terlibat untuk membantu siasatan. Insiden ini turut menarik perhatian ramai apabila rakaman kejadian tular di media sosial, mengundang pelbagai reaksi daripada orang awam.
Ada yang meluahkan rasa simpati terhadap mangsa dan menegur tindakan kasar tersebut, manakala ada juga yang menasihati agar kejadian seumpama ini ditangani dengan lebih bijak dan berhemah.
Kredit: BERNAMA, X update11111