Seorang lelaki warga emas yang dipercayai hidup sebagai gelandangan disahkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kejadian di Medan Selera Kampung Jawa, Seberang Jaya, Pulau Pinang baru-baru ini.

Polis memaklumkan kematian mangsa diketahui selepas menerima panggilan daripada petugas Hospital Seberang Jaya pada 25 Januari 2026 sekitar jam 7.30 malam.

Lelaki Warga Emas Maut Selepas Dipukul Di Medan Selera

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, mangsa dianggarkan berusia dalam lingkungan 60-an dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri. Sebelum itu, lelaki berkenaan telah dibawa ke hospital oleh ambulans pada 24 Januari 2026 kira-kira jam 2.48 pagi untuk menerima rawatan dan ditempatkan di wad sebelum disahkan meninggal dunia.

Keputusan bedah siasat menunjukkan punca kematian adalah akibat penyakit jantung koronari. Namun begitu, pemeriksaan turut mendapati mangsa mengalami kecederaan patah tulang rusuk di bahagian kiri badan.

Dalam perkembangan sama, pihak polis telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu diminta tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan kes, ASP Hasryman bin Osman di talian 04-576 2222 sambungan 2275 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kredit: FB IPD Seberang Perai Utara

[fbcomments]