Kesempitan hidup memaksa sebuah keluarga lima beranak di Kampung Darat Batu Rakit, Terengganu, bergantung kepada makanan yang telah tamat tempoh sebagai sumber utama untuk mengalas perut.

Lebih menyedihkan, mereka terpaksa mengutip makanan buangan dari tong sampah pasar raya kerana tidak mampu membeli keperluan asas.

 

Lima Beranak Hidup Dalam Serba Kekurangan, Terpaksa Makan Makanan Tamat Tempoh Hingga Anak Cirit Birit

Menurut perkongsian di media sosial, keluarga ini turut berdepan kesukaran apabila tidak mempunyai bekalan air dan elektrik yang sempurna.

Mereka hanya bergantung kepada air yang diperoleh daripada pekerja buruh asing di kawasan berhampiran, manakala bekalan elektrik pula terpaksa ditumpang dari jiran kerana tidak mampu menanggung kos penyambungan sendiri.

Ketua keluarga, Jani Yusof, 62, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal berkata, pendapatan keluarganya bergantung kepada hasil jualan barangan terpakai seperti botol plastik dan besi buruk.

Dengan keadaan yang serba kekurangan, beliau, isteri dan anak bongsu mereka akan keluar menaiki motosikal roda tiga setiap hari untuk mencari bahan buangan yang boleh digunakan.

“Lampin pakai buang, tepung, biskut dan susu yang dibuang pasar raya kerana tamat tempoh masih boleh digunakan. Kami ambil sekadar untuk mengisi perut,” katanya.

Bagaimanapun, anak bongsunya, Nur Jannah, 2, pernah mengalami cirit-birit selepas meminum susu tamat tempoh yang diperoleh dari tong sampah. Selain Nur Jannah, pasangan ini turut mempunyai dua anak lelaki, Muhammad Aqil Azhari, 8, dan Muhammad Syahrin Izzudin, 7, yang bakal memasuki tahun satu tidak lama lagi.

Menurut Jani, keluarganya menerima bantuan sara hidup sebanyak RM4,000 setahun daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta bantuan bulanan RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Namun, jumlah tersebut masih tidak mencukupi bagi menampung keperluan seharian mereka, terutama dengan keadaan isterinya yang menghidap darah tinggi, kencing manis dan asma, sekali gus tidak mampu melakukan kerja berat.

Sebahagian wang bantuan yang diterima digunakan untuk membeli motosikal roda tiga dan membaiki kediaman mereka yang uzur. Rumah yang didiami keluarga ini hanya berdindingkan papan lapis serta kain rentang buangan, manakala perca kain dijadikan sebagai tirai pemisah ruang dalam rumah.

“Setiap kali keluar mencari barang terbuang, kalau ada papan, kayu atau kain rentang yang masih elok, kami akan kutip untuk membaiki rumah,” ujar Jani.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan, memaklumkan bahawa keluarga ini sememangnya menerima bantuan dan pihaknya kini sedang meneliti keperluan tambahan yang boleh diberikan. Pegawai penyiasat telah dihantar bagi menilai keadaan keluarga berkenaan dan mengumpulkan dokumen yang diperlukan.

Menurutnya, bantuan untuk keluarga Jani mungkin akan ditambah atau peruntukan khas akan dipertimbangkan bagi membaik pulih rumah mereka, namun keputusan itu bergantung kepada hasil siasatan yang sedang dijalankan.

Kredit: Harian Metro, Facebook Fisabilillah TRG

[fbcomments]