Majlis Amanah Rakyat (MARA) menawarkan bantuan menyeluruh kepada dua beradik yang terselamat dalam kebakaran tragis di Kampung Pamah Kulat, Dong, awal pagi semalam yang meragut lima nyawa ahli keluarga mereka.
![]()
Video di bawah:
https://www.facebook.com/share/v/1DeP2dY7ZF/
MARA Janji Tanggung Kos Pengajian Hingga Tamat Universiti
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau telah mengadakan panggilan video bersama Ruby Adalia Balqis, 19, dan adiknya, Ahmad Balia Murqam, 15, bagi menyampaikan kata-kata semangat serta memaklumkan komitmen MARA untuk memastikan kebajikan dan pendidikan mereka terus terpelihara.
Menurut beliau, kedua-duanya ditawarkan sebagai anak angkat MARA agar segala keperluan pendidikan dan kebajikan mereka dapat dipantau secara berterusan.
![]()
Selain itu, Asyraf turut menyatakan hasrat peribadi untuk mengambil Ruby Adalia Balqis sebagai anak angkat dan berjanji menanggung sepenuhnya kos pengajiannya sehingga tamat universiti. Dalam perbualan tersebut, beliau mengakui tersentuh melihat ketabahan dua beradik itu yang kehilangan ibu bapa dan tiga adik-beradik dalam sekelip mata.
![]()
Mangsa yang terkorban ialah Mohd Alawi Muhammad, 56, isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak mereka, Ruby Adira Batrisya, 17; Ruby Adlina Banin, 14; dan Ruby Azyan Barizah, 10.
Kebakaran yang memusnahkan 100 peratus rumah keluarga itu turut melibatkan tiga kereta dan motosikal. Menurut Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim, api berjaya dikawal pada jam 4.48 pagi selepas jentera tiba di lokasi pada 4.15 pagi.
Dalam pada itu, Asyraf merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA, Datuk Seri Ismail Mohamed Said; Ketua UMNO Bahagian Raub, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram; kepimpinan UMNO Bahagian Raub serta Bahagian Pendidikan Menengah MARA atas tindakan pantas menghulurkan bantuan.
![]()
Bahagian Pendidikan Menengah MARA juga diarahkan melaksanakan solat sunat jenazah ghaib di kesemua 58 Maktab Rendah Sains MARA sebagai tanda solidariti dan doa buat mangsa.
Kredit: Facebook DR ASYRAF WAJDI DUSUKI