Seorang pelajar tingkatan dua maut selepas terkena tembakan daripada senapang buatan sendiri ketika bermain bersama rakan di halaman sebuah rumah di Jalan Kem PPH, Keningau, semalam.
Kejadian tragis kira-kira jam 8 pagi itu berlaku ketika mangsa, 14, sedang bermain sembunyi-sembunyi sebelum terkena tembakan dilepaskan dari jarak tiga meter oleh rakannya yang sebaya.
![]()
Pelajar Tingkatan Dua Maut Tertembak Senapang Buatan Sendiri Ketika Bermain
Mangsa dilaporkan rebah sejurus terkena tembakan dan penduduk kampung segera membawanya ke Hospital Keningau. Namun, pihak perubatan mengesahkan remaja itu meninggal dunia sebaik tiba di Unit Kecemasan. Pemeriksaan doktor kemudian mendapati terdapat 14 kesan tembakan pada bahagian dada, lengan, lutut serta sisi kiri tubuh mangsa.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai memaklumkan bahawa tembakan dipercayai dilepaskan tanpa sengaja ketika suspek memegang senjata terbabit untuk bergurau. Ketika itu, mangsa sedang bersembunyi di bawah kolong rumah sebelum picu ditarik lalu menyebabkan tembakan terkena rakannya sendiri. Suspek yang panik segera meminta bantuan penduduk yang melalui kawasan tersebut.
![]()
Siasatan awal mendapati senjata berkenaan disembunyikan oleh adik suspek berusia 13 tahun, manakala pemilik bakakuk itu adalah bapa mereka, seorang warga emas berusia 70 tahun. Ketiga-tiga mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut, sementara mangsa difahamkan kerap bermalam di rumah keluarga berkenaan dan rapat dengan suspek.
Polis turut merampas senjata jenis bakakuk, peluru hidup, kelongsong, pakaian suspek serta dua telefon bimbit bagi tujuan siasatan. Bedah siasat dilakukan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu hari ini. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kredit: Harian Metro