Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus berusaha mengekang penularan wabak Covid-19 sehingga Malaysia mendapat pengiktirafan dunia.
Hasil usaha barisan hadapan
Muhyiddin menyifatkan pengiktarafan itu hasil daripada peranan yang dimainkan mereka dan kesemua barisan hadapan yang lain.
“Saya sampaikan kepada mereka yang dunia kini mengiktiraf keupayaan negara dalam menangani penularan Covid-19. Ini semua adalah kerana peranan yang dimainkan oleh mereka dan semua barisan hadapan dalam menjayakan langkah yang diambil kerajaan.
“Kita adalah antara yang terbaik di dunia! Namun, saya ingatkan bahawa perjuangan belum berakhir. Masih banyak yang perlu kita lalui.”
Merekalah wira negara
Anggota barisan hadapan yang dimaksudkan adalah Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan pelbagai agensi lain termasuk para sukarelawan yang bertungkus-lumus melaksanakan tugas masing-masing.
Perdana Menteri turut menyifatkan kesemua mereka sebagai wira negara yang bekerja keras sejak dari awal wabak ini dikesan.
“Saya bagi pihak kerajaan telah menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan atas kerja keras dan sumbangan cemerlang yang ditunjukkan mereka sehingga wabak ini mampu ditangani dengan baik.“
“Mereka sanggup mengambil risiko berdepan sesuatu yang cukup asing, yang tidak pernah mereka tangani sebelum ini.”