Malaysia baru sahaja berkongsi pengalamannya dalam mengurangkan kesan daripada penularan COVID-19 dengan Jepun dan negara ASEAN lain di Persidangan Maya Menteri-Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (VMRT) dengan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun pada petang tadi.
Mesyuarat ini telah diketuai oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan diiringi oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong.
Antara intipati yang dibincangkan dalam mesyuarat delegasi tersebut ialah usaha kerajaan menerajui transformasi digital di rantau Asia.
Azmin turut menggesa kesemua negara ASEAN untuk bekerjasama dalam mendapatkan vaksin bagi meningkatkan peluang bekalannya tersedia di rantau ini.
Secara tidak langsung, mesyuarat ini akan membolehkan Malaysia melalui platform ASEAN menjalinkan kerjasama dan perkongsian yang lebih erat dengan Jepun dan negara anggota ASEAN yang lain, secara bersinergi dan bersatu untuk memerangi COVID-19 dengan menunjukkan solidariti, visi dan kepimpinan yang kukuh antara ASEAN dan Menteri Ekonomi Jepun dalam mengembalikan kembali ekonomi selepas pasca Covid-19.
Terdahulu Azmin dan MITI sedang mengintai peluang untuk membawa masuk pelaburan dari Jepun selepas kerajaan mereka mengumumkan pakej rangsangan AS$2.2 bilion bagi memindahkan operasi dari China ke rantau ASEAN.
Dalam masa sama hasil dari persidangan VMRT kalangan negara APEC baru-baru ini Malaysia sedang merangka kerjasama ekonomi membabitkan New Zealand-Singapura-Malaysia.