Penyanyi Mark Adam telah mendirikan rumah tangga sejak tahun 2003 dengan pasangannya, Ezan atau Norazah Redzuan. Meskipun telah dua dekad perkahwinan, mereka belum lagi dikurniakan rezeki untuk mempunyai anak.
Mark bagaimanapun sentiasa berpegang teguh akan janjinya untuk menjaga pasangannya itu tanpa sedikit pun niat mencurangi isterinya.
“Saya masih ingat hari pernikahan kami genap 20 tahun lalu. Masa di masjid bernikah kita kan dah berjanji dengan Allah, jadi saya kena pegang janji itu.”
Jadikan bapa sebagai contoh

Mark juga menjadikan bapanya sebagai contoh ketua keluarga yang bertanggungjawab. Bapanya juga pernah memesan untuk Mark menjaga isterinya itu dan tidak sesekali menyakiti Ezan.
“Satu lagi saya ingin terus setia kerana bapa saya. Saya tak tahu apa yang isteri buat kerana pertama kali ke Filipina, dia pergi seorang. Saya pula tak boleh keluar dari Malaysia ketika itu disebabkan nak dapatkan status pemastautin tetap.
“Apabila keluarga saya ajak balik Filipina, dia pergi seorang diri. Bapa kemudian hubungi saya cakap, kalau saya sakiti Ezan, dia suruh saya lupakan dia sebagai ayah,” katanya.
Penyanyi lagu Marry Me itu juga berkata meskipun bapanya sudah tiada, kesetiaan bapanya kepada ibunya terus menjadi contoh buat dirinya.
“Pasangan kita adalah insan yang kita pilih untuk sehidup semati. Bapa saya saya pun memilih seorang wanita saja dalam hidupnya iaitu ibu saya.
“Apabila kita menjadikan seorang wanita itu peneman hidup, bermakna apa pun terjadi, kita sudah nekad untuk bersama-sama mengharungi kehidupan.
Mark juga menganggap godaan dari luar sebagai ujian untuk hidup berpasangan. Ezan, 42 juga merupakan pengurus Mark sendiri.