Pengurusan Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) tampil memberi penjelasan rasmi susulan tular dakwaan kononnya program berbuka puasa di masjid tersebut diboikot.
![]()
Masjid At-Taqwa TTDI Bidas Dakwaan ‘Boikot’ Program Berbuka Puasa, Jelaskan Kehadiran Jemaah Kekal Tinggi
Pengerusi masjid, Dato’ Mohd Fadzli Bin Yusof, menegaskan bahawa gambar dewan makan yang kelihatan lengang di media sosial diambil sekitar jam 6.32 petang, sebelum jemaah mula memenuhi ruang masjid dan dewan pada jam 7.00 petang.
Menurutnya, kehadiran jemaah sepanjang Ramadan kekal memberangsangkan, antara 800 hingga 1,000 orang setiap hari, malah pihak urusetia kerap perlu menambah juadah tambahan bagi menampung jumlah jemaah yang melebihi jangkaan.
![]()
“Rekod kehadiran jemaah di masjid kami sepanjang bulan Ramadan ini kekal memberangsangkan dengan anggaran antara 800 hingga 1,000 orang pada setiap hari. Malah, pihak urusetia sering berdepan situasi di mana jumlah jemaah yang hadir melebihi jangkaan asal, sehingga memaksa kami membuat pesanan makanan tambahan bagi memastikan kebajikan semua pihak terjaga,” katanya.
Selain program berbuka puasa di premis masjid, pihak pengurusan turut aktif menjalankan agihan makanan di Stesen MRT TTDI dan penghantaran terus ke rumah bagi ahli kariah yang uzur.
![]()
Dengan peruntukan dana sebanyak RM450,000, masjid juga mengadakan moreh dan sahur, selain menyediakan aktiviti kemasyarakatan seperti zon kanak-kanak, pertandingan e-sukan dan karom bagi menarik golongan muda.
Dato’ Mohd Fadzli menyeru masyarakat agar tidak terpengaruh dengan spekulasi negatif, sebaliknya menjadikan Ramadan sebagai peluang memperkukuh ukhuwah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Kredit: Facebook Masjid At-Taqwa TTDI