Individu yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan atau ‘mat rempit’ bakal berdepan tindakan lebih berat, termasuk hukuman penjara, apabila pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dijangka mula dikuatkuasakan pada 1 November ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pindaan berkenaan telah diluluskan Parlimen dan kini hanya menunggu proses pewartaan selepas JPJ menerima pandangan daripada Jabatan Peguam Negara.

Hukuman Lebih Berat Termasuk Penjara Untuk Mat Rempit Dijangka Berkuat Kuasa 1 November

Menurut beliau, peruntukan baharu itu akan memberi ruang kepada pihak penguat kuasa untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap kegiatan perlumbaan haram, tunggangan berbahaya dan kesalahan lain yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya. Katanya, pindaan di bawah Seksyen 42(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 turut memudahkan pegawai penyiasat menjalankan tindakan terhadap kesalahan berkenaan. Beliau berkata, isu ‘mat rempit’ merupakan kebimbangan di peringkat nasional dan memerlukan penguatkuasaan berterusan oleh agensi berkaitan.

Dalam perkembangan sama, JPJ turut memberi perhatian terhadap kegiatan ‘mat rempit’ yang kerap berlaku di kawasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini. Kifli berkata masalah berkenaan merupakan kejadian berulang dan pihaknya akan memperkukuh kerjasama dengan polis bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan terhadap mereka yang terbabit.

Pindaan Akta 333 itu secara keseluruhannya bertujuan memperketat tindakan undang-undang terhadap perlumbaan haram, samseng jalanan serta perbuatan memandu atau menunggang secara berbahaya. Langkah berkenaan juga dijangka menyediakan asas perundangan yang lebih kukuh kepada agensi penguat kuasa untuk mengambil tindakan terhadap individu yang melakukan kesalahan sehingga boleh membahayakan pengguna jalan raya.

Kredit: Harian Metro

 

 

[fbcomments]