Seorang tukang rumah warga Indonesia dikenakan enam saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka selepas ditahan menunggang motosikal milik majikannya tanpa lesen memandu dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa) di Melaka Raya, baru-baru ini.

Tukang Rumah Warga Indonesia Terima Enam Saman JPJ

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd. Yusop, berkata lelaki berusia sekitar 30-an itu merupakan antara 11 warga asing yang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan bukan sahaja tidak memiliki lesen memandu yang sah, malah motosikal yang ditunggangi mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, selain beberapa kesalahan teknikal lain.

Menurut beliau, saman turut dikeluarkan kepada pemilik motosikal, iaitu majikan lelaki berkenaan dan kenderaan tersebut telah disita. Kenyataan itu dibuat ketika sidang akhbar di JPJ Melaka, Bukit Katil, semalam.

Dalam operasi yang sama, seramai 11 warga asing ditahan terdiri daripada lapan warga Indonesia, serta masing-masing seorang warga Syria, Myanmar dan Bangladesh, berusia antara 30-an hingga 40-an. Sepanjang operasi tersebut, sebanyak 11 kenderaan disita, melibatkan sembilan motosikal, sebuah kereta jenis Nazaria dan sebuah pikap Mitsubishi Triton.

Siti Zarina berkata, tindakan sitaan dibuat atas tiga kesalahan utama, iaitu tiada lesen memandu, LKM tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans. Selain itu, 55 kenderaan diperiksa dengan 43 notis dikeluarkan di bawah akta yang sama. Beliau menegaskan bahawa pemilik kenderaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penggunaan kenderaan mereka dan memberi kebenaran kepada warga asing menunggang tanpa lesen memandu yang sah merupakan satu kesalahan.

Kredit: Kosmo!

 

[fbcomments]