Seorang pelajar universiti swasta yang sedang menjalani latihan industri dilaporkan meninggal dunia susulan kejadian letupan gas penghawa dingin yang berlaku di sebuah institusi pengajian tinggi swasta pada Isnin semalam. Mangsa disahkan menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pelajar UTAR Meninggal Dunia Akibat Letupan Gas Penghawa Dingin

Menurut Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Prof Dr Chang Yoong Choon, mangsa merupakan penuntut program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan telah menjalani latihan industri selama tiga bulan. Insiden berkenaan berlaku ketika mangsa berada di minggu terakhir latihan industri sebelum menamatkan program pengajiannya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak universiti menyediakan perlindungan insurans kepada semua pelajar bagi meliputi sebarang kejadian tidak diingini termasuk kecederaan dan kematian. Sehubungan itu, pihak pengurusan universiti akan menguruskan segala dokumentasi berkaitan serta mengemukakan tuntutan kepada syarikat insurans bagi pihak keluarga mangsa.

Selain itu, UTAR juga memberi jaminan akan menyalurkan sokongan sepenuhnya kepada keluarga mangsa termasuk bantuan berkaitan urusan pengebumian. Prof Dr Chang menegaskan bahawa universiti komited untuk membantu keluarga terbabit sehingga semua urusan selesai dan akan menghormati sebarang keputusan yang dibuat oleh ahli keluarga.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki dikenali sebagai Soo Yu Juan, 24, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL, manakala sembilan individu lain dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian letupan yang berlaku kira-kira pukul 11.40 pagi semalam.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]