Penduduk di Kupang, Baling, akhirnya boleh menarik nafas lega apabila polis berjaya menyelesaikan misteri kebakaran bersiri yang menghantui kawasan itu sejak Disember lalu. Seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun ditahan pada Isnin, dipercayai dalang di sebalik kejadian tersebut.

Misteri Kebakaran Bersiri di Kupang Terbongkar, Suspek Ditahan

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, siasatan mendapati kebakaran yang melibatkan sembilan rumah di kawasan itu berpunca daripada dendam suspek, yang pernah menjadi mangsa buli di tempat kerja.

“Lelaki tersebut pernah bekerja di sebuah kilang getah tetapi berhenti kira-kira tiga bulan sebelum kebakaran pertama berlaku. Kesemua sembilan kes khianat dengan api yang dilakukan suspek adalah berpunca daripada perasaan dendam kerana sering dibuli di tempat kerja sebelum ini,” jelas Datuk Fisol.

Difahamkan, tindakan membakar harta benda mereka dipercayai berpunca daripada konflik peribadi. Suspek dikatakan menggunakan petrol sebagai bahan pembakar utama, bermula dengan motosikal sebelum api merebak ke rumah dan kenderaan lain.

“Polis percaya disebabkan perasaan dendam, dia bertindak membakar sembilan rumah dengan kerugian tertinggi sebanyak RM300,000,” tambahnya.

Rentetan insiden ini menyebabkan kerosakan besar, termasuk dua buah kenderaan dan 18 motosikal, dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM770,000. Kejadian berlaku pada waktu awal pagi, antara jam 2 hingga 5 pagi, menambahkan lagi ketakutan dalam kalangan penduduk setempat.

Sebelum ini, kebakaran bersiri tersebut menimbulkan keresahan apabila kebanyakan kejadian melibatkan motosikal yang diparkir di hadapan rumah mangsa. Dalam beberapa kes, api merebak sehingga menyebabkan rumah turut musnah.

Penahanan suspek memberikan kelegaan besar kepada penduduk yang selama ini dihantui kebimbangan terhadap keselamatan mereka.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]