Seorang ibu tunggal meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa pihak sekolah menghalang anaknya yang berusia 12 tahun, Solehah Azzahra Nazri iaitu seorang murid autisme dan pelajar cemerlang daripada hadir ke sekolah tanpa penjelasan yang jelas.
Elinoisna Abu, 47, berkata anak sulungnya telah diarahkan bercuti sejak 21 November lalu susulan insiden tantrum di kelas Tahun Lima sehari sebelum itu.
![]()
Murid Autisme Didakwa Dihalang Bersekolah, Ibu Tunggal Pertikai Tindakan Pihak Sekolah
Menurutnya, pihak sekolah mendakwa Solehah mencederakan seorang murid perempuan berusia 11 tahun dalam kejadian tersebut, namun tiada bukti kukuh ditunjukkan. Beliau menegaskan rakan-rakan sekelas membantu menenangkan anaknya dan hanya pakaian murid berkenaan yang dilaporkan terkoyak. Tambah Elinoisna, sekolah turut mengenakan syarat supaya Solehah hanya dibenarkan hadir jika diiringi sepanjang hari, selain mendakwa ada ibu bapa murid lain mengugut untuk membuat laporan polis secara beramai-ramai.
Elinoisna berkata tindakan tersebut memberi tekanan emosi yang besar kepada anaknya, sedangkan sepanjang tiga tahun bersekolah, Solehah tidak pernah menunjukkan tingkah laku agresif dan disenangi rakan-rakan. Beliau kemudian membuat aduan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), yang memaklumkan bahawa murid itu sepatutnya tidak dihalang daripada mengikuti sesi persekolahan.
![]()
Solehah dibenarkan kembali ke sekolah pada 4 Disember, namun pihak sekolah didakwa meminta satu surat akujanji ditandatangani yang menyatakan segala risiko menjadi tanggungan sendiri dan permintaan tersebut yang tidak dipersetujui keluarga. Elinoisna turut membuat laporan polis pada 5 Disember bagi mempertahankan hak anaknya. Wanita itu, yang sedang menjalani rawatan kanser tahap tiga, berharap isu tersebut dapat diselesaikan segera agar Solehah dapat menamatkan Tahun Enam tanpa gangguan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin memaklumkan pihaknya sedang menyemak perkara berkenaan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor bagi mendapatkan gambaran penuh dan tindakan lanjut.
Kredit: Harian Metro