Kemunculan penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza menyampaikan laporan cuaca mencetus keterujaan orang ramai.
Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 43 telah dijemput oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan MetMalaysia bagi menyampaikan laporan cuaca di YouTube Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).
Laporan tersebut turut disiarkan menerusi slot Berita Wilayah dan Berita Perdana di RTM pada jam 5 petang dan 8 malam, semalam.
Siti yang memakai sut hitam dikenakan dengan bawal kelabu itu kelihatan yakin dan bersahaja ketika menyampaikan laporan kaji cuaca seluruh negara.
Siti turut memuat naik hantaran ke Instagram (IG) mengucapkan terima kasih kepada MetMalaysia atas undangan tersebut.
“Kolaborasi itu diharap dapat menggalakkan orang ramai mengikuti laporan cuaca dan bertindak mengikut nasihat berkaitan risiko bencana seperti banjir, angin kencang serta laut bergelora,” katanya.
Rata-rata warganet memberi reaksi yang positif selepas menonton laporan tersebut.
“Aduhai TokTi, baca laporan kaji cuaca pun suara sedap”
“Bagus betul. Tahniah Siti Nurhaliza, SNP dan pihak pihak yang terlibat. Hari tu alam sekitar ni cuaca pula. Mantap!”
Tindakan MetMalaysia berkolaborasi dengan pelantun lagu Anta Permana itu dipuji sebagai alternatif yang bagus.
Sebelum ini, penyanyi tersebut pernah muncul membaca berita untuk Awani, lebih kurang tiga tahun lalu.
Sumber: @ctdk