Penyanyi, Datuk Nora Ariffin mengesahkan bahawa beliau sedang dalam proses memujuk suaminya, Dr. Rushdi Ramli, untuk berpisah buat kali kedua. Keputusan ini dibuat bagi mengelakkan dirinya terus menjadi sasaran kecaman serta fitnah masyarakat di media sosial.
Datuk Nora Ariffin Dedah Sedang Memujuk Suami Untuk Bercerai Kali Kedua
Menerusi perkongsian di Instagram Story, penyanyi tersebut menyatakan bahawa beliau mengambil langkah tersebut selepas berdepan pelbagai tohmahan yang mencemarkan namanya.
“Saya sedang memujuk ustaz untuk ceraikan saya buat kali kedua, supaya tiada kata-kata fitnah, caci maki, hasut menghasut masyarakat membenci, memburukkkan serta menjatuhkan nama saya di sosial media,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Nora turut memetik nama bekas madunya, yang dikenali sebagai Ustazah Rose, dan menyatakan permohonan maaf kerana menerima semula lamaran suaminya selepas mereka berpisah pada Ogos tahun lalu.
“Saya mohon maaf kerana menerima lamaran dan berkahwin secara sah dengan ustaz. Setelah ustaz didesak ceraikan saya, ustaz kembali rujuk kepada saya. Saya mintak maaf kerana terima dan rujuk kembali.
“Saya minta maaf kerana post gambar bersama ustaz. Saya sudah buang semua gambar-gambar berdua kami, yang ada cuma gambar ramai-ramai,” jelasnya.
Nora turut menegaskan bahawa selepas perpisahan ini berlaku, bekas madunya berhak untuk kembali kepada suaminya.
“Saya akan penuhi permintaan dari Alia dari pada dulu lagi untuk kami bercerai. Insya-Allah, ustazah Rose akan kembali monogami seperti yang diinginkan,” tambahnya lagi.
Namun, di sebalik tekanan yang dihadapinya, Nora mengakui bahawa dia pernah terfikir untuk mengambil tindakan drastik bagi mengakhiri penderitaan yang dirasakannya.
“Mungkin kalau saya mati atau bunuh diri, barulah dua beranak ini puas hati,” luahnya dengan nada kecewa.
Terdahulu, pada September tahun lalu, Nora mengesahkan bahawa beliau telah kembali rujuk dengan suaminya sebulan selepas mengumumkan perceraian mereka. Dr. Rushdi, yang merupakan sahabat baik kepada Allahyarham Johan Nawawi iaitu suami pertama Nora, dikatakan telah menjadi tempat beliau bergantung selepas kehilangan suami tercinta pada 2017 akibat serangan jantung.
Kredit: Instagram itsnoraariffin