Seorang pemandu kereta dipercayai memandu dalam keadaan mabuk menjadi punca kemalangan maut yang meragut nyawa sepasang suami isteri di Jalan Ampang berhampiran Menara Great Eastern pada awal pagi Sabtu.

Dua Nyawa Melayang, Kereta Dipandu Lelaki Mabuk Rempuh Motosikal Dari Belakang

Kejadian kira-kira jam 5.34 pagi itu melibatkan sebuah Toyota Vios dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun yang dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal jenis Honda Wave Alpha dinaiki pasangan berkenaan.

Akibat pelanggaran itu, penunggang berusia 61 tahun dan isterinya berusia 56 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dalam kejadian sama, pemandu kereta tersebut turut mengalami kecederaan di kepala dan kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur. Penumpang hadapan berusia 23 tahun juga mengalami kecederaan di kepala dan masih dirawat di zon sama, manakala seorang lagi penumpang belakang berusia 24 tahun hanya mengalami luka di bahagian bibir dan lidah sebelum dibenarkan pulang serta tampil membuat laporan polis pada hari kejadian.

Siasatan mendapati kesemua individu dalam kereta tersebut adalah rakan dan pihak polis telah mengambil sampel darah serta air kencing pemandu untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengenal pasti kandungan alkohol atau bahan terlarang.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan lanjut.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]