Pengedar dan peruncit peralatan dapur serta produk isi rumah, Oasis Home Holding Bhd memeterai perjanjian taja jamin dengan MIDF Amanah Investment Bank Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE, Bursa Malaysia.
Kumpulan itu menyasarkan untuk disenaralkan di Pasaran ACE pada Mei 2025.
IPO yang dicadangkan itu melibatkan terbitan awam sebanyak 100 juta saham baharu mewakili kira-kira 20% daripada sahamnya yang diperbesarkan, serta tawaran untuk penjualan 50 juta saham sedia ada atau 10% daripada saham yang diperbesarkan.
Daripada 100 juta saham terbitan itu, 25 juta saham akan disediakan kepada orrang awam Malaysia melalui undian, 10 juta saham kepada pengarah dan pekerjanya yang layak manakala 62.5 juta saham disediakan oleh Kementerian Perdagangan dan Pelaburan swasta melalui Kementerian Perdagangan (MITI).
Baki 2.5 juta saham akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Menerusi perjanjian itu, MIDF Investment akan menaja jamin sejumlah 35 juta saham yang diperuntukkan menerusi borang merah jambu.
Ketua Pegawai Eksekutif Oasis Home, Datuk Teoh Yee Seang, menyatakan bahawa penyenaraian ini bakal membuka peluang lebih luas kepada kumpulan dalam memperkukuhkan jenama serta menarik pelanggan baharu. Menurutnya, langkah ini juga tepat pada masanya memandangkan peningkatan penggunaan platform jualan dalam talian serta kuasa beli pengguna yang semakin berkembang.
Dalam usaha memperluaskan pasaran, Oasis Home menggunakan strategi pemasaran dalam talian ke luar talian (O2O) bagi memastikan produknya lebih mudah diakses oleh pengguna. Selain platform digital, syarikat ini turut memiliki pusat pengalaman produk di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Johor Bahru, Johor, serta bilik pameran mudah alih yang menyokong jualan secara fizikal. Pendekatan ini bertujuan menyediakan pengalaman membeli-belah yang lancar merentasi pelbagai saluran.
MIDF Investment berperanan sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin serta ejen penempatan bagi IPO ini.