Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Minoriti (DPM), Mohd Zulkifli Abdul Fattah memuji tindakan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang berjaya mengusir warga asing di Pasar Borong Selayang.
Buka peluang pekerjaan rakyat tempatan
Katanya, berikutan tindakan itu ramai majikan mula mengiklankan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan dan mendapat sambutan menggalakkan dari warganegara yang menganggur, termasuk gelandangan.

“Dari maklumat yang kami terima, iklan tersebut mendapat sambutan dan membuktikan rakyat tempatan tidak memilih pekerjaan kerana peluang pekerjaan mereka sebenarnya telah dirampas oleh warga asing.
“Warga asing yang pada mulanya bekerja sebagai pekerja am di pasar borong itu berjaya memonopoli kawasan tersebut dalam jangka masa singkat. Ini berpunca pemegang lesen mencari jalan mudah menyewakan lot kedai kepada warga asing dan mengaut keuntungan ‘atas angin’.”
Terdapat kumpulan gangster menjaga kawasan pasar
Jelas Mohd Zulkifli, pihaknya juga mendapati ‘gangster’ yang ‘menjaga’ kawasan pasar itu mengutip wang perlindungan daripada warga asing untuk memastikan keselamatan mereka daripada warga tempatan dan pegawai kerajaan.

Perkara ini lah yang telah menambahkan lagi pengaruh dan kuasa warga asing dan menjadikan mereka ‘untouchable’ di kawasan Pasar Borong Selayang.
“Kesannya, seluruh kawasan pasar borong itu dan sekitarnya menjadi penempatan warga asing dan ini semua berlaku disebabkan rasuah. Jika warga asing boleh berniaga, berkuasa dan membuka penempatan sendiri di kawasan ini, punca utamanya pasti ada kebenaran dari pihak tertentu.”