Seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun disahkan meninggal dunia selepas menggantungkan diri di dalam bilik asrama. Insiden ngeri itu berlaku di salah sebuah sekolah menengah yang terletak di Jalan Damai, Kota Kinabalu.
Mangsa sendirian dalam bilik
Menerusi laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji memaklumkan sebelum kejadian, pelajar tingkatan 3 itu ada bersama-sama dengan 4 lagi rakannya di dalam bilik berkenaan.
Namun, tidak lama selepas itu, keempat-empat rakan mangsa telah keluar dan tinggalkan mangsa sendirian di dalam bilik.
Empat rakannya kemudian keluar dari bilik dan kembali semula untuk memanggil mangsa belajar.
Ditemui tergantung
Tambahnya lagi, pada ketika itu mereka mendapati bilik tersebut telah berkunci dari dalam. Mereka yang mengesyaki sesuatu telah meminta pertolongan daripada warden asrama.
Sebaik sahaja pintu dibuka, mereka sangat terkejut melihat mangsa sudah berada dalam keadaan tergantung.
Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) bagi proses bedah siasat.
Sementara itu, hasil daripada siasatan mendapati kematian tersebut tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.