Seorang pelakon wanita yang pernah membintangi drama popular Nur, bersama suaminya dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini bagi permohonan reman berhubung siasatan kes penipuan melibatkan urusan penjualan tanah kurniaan sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM1.5 juta.

Pelakon Drama ‘Nur’ dan Suami Direman Kes Penipuan Tanah RM1.5 Juta

Ketika tiba di mahkamah dengan diiringi pihak berkuasa, pelakon itu sempat berpesan kepada wartawan agar hanya melaporkan fakta yang sahih dan tidak menyiarkan maklumat tidak tepat.

“Nanti tulis apa yang betul ya, tak sahih cerita jangan tulis. Terima kasih,” katanya.

Pasangan berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu ditahan semalam di sebuah madrasah tahfiz di Jalan Kuari Sungai Long, Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor, yang dipercayai menjadi lokasi persembunyian mereka. Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim, memaklumkan tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima berkaitan kes penipuan di daerah berkenaan. Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah kemudian membenarkan kedua-dua suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurut Azahar, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 56 tahun yang juga pesara ahli perniagaan dalam bidang pembangunan hartanah. Pengadu mendakwa telah ditawarkan beberapa lot tanah di bawah mukim Cheras, Selangor pada 21 September 2023, yang kononnya berstatus kurniaan kerajaan negeri. Mangsa kemudiannya berurusan dengan suspek dan melakukan beberapa transaksi bayaran selepas ditunjukkan akaun bank milik bapa suspek serta akaun isteri suspek untuk tujuan pemindahan wang, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM1.5 juta.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan dakwaan seorang usahawan produk kecantikan yang mendakwa dirinya kerugian RM300,000 selepas berurusan dengan pelakon wanita terbabit dan suaminya. Menerusi hantaran di Threads menggunakan nama akaun kakbeyna_official, individu itu turut mendakwa terdapat mangsa lain yang mengalami kerugian lebih besar sehingga jutaan ringgit. Difahamkan, beberapa laporan polis telah dibuat dan tangkap layar perbualan serta salinan MyKad pelakon dan lelaki yang didakwa suaminya turut dikongsikan dalam pendedahan tersebut.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]