fbpx

Kes penderaan kanak-kanak di taska kini berleluasa akibat tindakan pengasuh yang tidak berperikemanusiaan. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri meluahkan rasa kebimbangan kerana purata 20 kes penderaan telah dilaporkan pada setiap hari.

Pasang CCTV Sebagai Syarat Wajib Di Seluruh Negara

Menurut sumber yang dipetik dari Buletin TV3, kerajaan telah mengeluarkan peraturan untuk menjadikan pemasangan CCTV sebagai syarat wajib bagi pembaharuan lesen taska di seluruh negara. Nancy Shukri menegaskan syarat tersebut termaktub dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, namun terdapat segelintir pengusaha yang tidak mengendahkan tentangnya.

Akan Dikenakan Tindakan Jika Gagal Ikut Peraturan

“Dalam peraturan, pengusaha taska harus memperbaharui lesen perniagaan mereka setiap lima tahun dan antara syaratnya ialah mesti memasang CCTV. Jika mereka tidak mematuhinya, kita boleh mengambil tindakan tegas untuk tidak memperbaharui lesen mereka”, jelas beliau.

Mengulas lanjut, beliau juga memaklumkan dengan pemasangan CCTV di taska akan meningkatkan rasa keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke taska dengan selamat kerana mereka boleh mengesan sebarang kelakuan jika terjadinya kes penderaan.

“Kita akan melaksanakan penguatkuasaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Ketua Pengarah JKM mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan”, katanya lagi.

Kredit: BuletinTV3

[fbcomments]