Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menuntut kerajaan mengenakan hukuman gantung kepada pesalah yang memandu di bawah pengaruh alkohol dalam usaha menangani kes melibatkan kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk.
Selain itu, Pembela juga mahu penjualan alkohol diharamkan dan lesen memandu pesalah ditahan seumur hidup.
Naib Pengerusinya, Izzat Johari berkata, satu kajian juga perlu dibuat terhadap pemandu mabuk serta mangsa yang terlibat dalam kemalangan.

“Kesimpulan, haramkan penjualan arak, tahan lesen memandu seumur hidup dan hukuman gantung sampai mati.”
Dalam kejadian baru-baru ini, seorang lelaki maut selepas kenderaannya dirempuh kereta melawan arus dipandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol di Jalan Pintasan Kuantan.
Suspek yang dipercayai memandu melawan arus sejauh 7 kilometer sebelum merempuh kereta mangsa.

Hukuman gantung sampai mati
Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, atau lebih dikenali dengan nama panggilan Dr. Maza, mufti Perlis menegaskan hukuman yang berat perlu dijatuhkan pada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian atas jalan raya.
Mengikut peraturan semasa, hukuman mengikut Seksyen 41 (Akta Pengangkutan Jalan 1987) memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian. Hukuman ini dilihat ringan dan tidak menakutkan ‘kaki mabuk’ untuk memandu dalam keadaan mabuk di atas jalan raya.

“Satu hukuman yang sangat berat dan adil hendaklah dijatuhkan kepada sesiapa pun yang menyebabkan kecederaan apatah lagi kematian anggota PDRM yang sedang bertugas sebagai frontliner untuk kepentingan awam di jalanraya.” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
“Minuman beralkohol atau arak ternyata telah memusnahkan banyak nyawa dan harta. Pemandu mabuk yang menyebabkan kematian anggota keselamatan sepatutnya dipertimbangkan untuk hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebat.”
“Tiada alasan munasabah untuk meringankan hukuman. Jika dibiarkan, Kaki mabuk ini juga akan berani mengulangi perbuatan terkutuk ini jika hukuman yang dikenakan adalah ringan dan denda yang mampu dibayar”