Seorang lelaki yang juga pempengaruh media sosial berusia 39 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun disahkan positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) atau ganja.

Pempengaruh Ditahan, Kanak-Kanak 3 Tahun Disyaki Positif Ganja Terima Rawatan Hospital

Lelaki terbabit yang juga merupakan anak kepada pengasuh kanak-kanak berkenaan kini direman selama tujuh hari bermula 16 April sebelum tempoh tahanan disambung lima hari lagi sehingga 27 April.

Kejadian itu berlaku selepas mangsa dimasukkan ke Hospital Melaka dalam keadaan separuh sedar, sebelum pemeriksaan perubatan mendapati keputusan saringan air kencing menunjukkan kehadiran bahan terlarang tersebut.

Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, kejadian disedari selepas ibu mangsa memaklumkan anaknya dihantar ke hospital dari rumah pengasuh di Sungai Putat. Kanak-kanak itu sebelum ini turut menerima bantuan pernafasan di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka pada 11 April sebelum dirawat lanjut pada 14 April.

Susulan laporan tersebut, pihak polis dari Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Melaka telah menahan suspek pada 15 April kira-kira jam 9.30 malam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Semakan lanjut turut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah, manakala ujian air kencing ke atasnya didapati negatif.

Dalam perkembangan terkini, kanak-kanak terbabit dilaporkan telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]